Thursday, May 28, 2009

MUSLIMAT DI SAMBUTAN HARI IBU PERINGKAT NEGERI KELANTAN


Satu majlis telah diadakan oleh unit Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Keluarga bersempena Sambutan Hari Ibu kelmarin di Gelanggang Seni. Dalam ucapannya Exco Pembangunan Wanita menegaskan bahawa jangan letakkan keistimewaan Ibu itu hanya pada satu hari, tetapi sewajibnya setiap hari dalam doa di setiap solat, penghormatan yang berterusan dan mengambil berat tentang kehidupan sehariannya. Mengambil peluang ini AJK Muslimat DUN turut serta menghadiri program setengah hari tersebut.


Di dalam majlis yang sama Yang Berbahagia Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak turut melancarkan buku karangan beliau yang bertajuk "BIDADARI DARI TIMUR"


Ustaz Azharizal sebagai moderator bersama saudara Shah Kirit seorang penceramah bebas dalam sesi bicara "Birul Walidaini Amalan Masyarakat Madani"


Kumpulan Sautul Ikhwah, pelajar Maahad Muhammadi (L) yang sedang menanti panggilan melanjutkan pelajaran ke Mesir. Nasyid mereka sangat menghiburkan.


Pentomin Syurga Di Bawah Telapak Kaki Ibu, persembahan dari Pusat Serenti Bachok sangat-sangat memberi kesan di dalam hati.

Sunday, May 24, 2009

PERAK OHH PERAK (II) !!!

Pakatan Rakyat kehilangan Perak untuk kesekian kalinya. Mahkamah Rayuan Putrajaya mengesahkan keputusan ini. Dr Zambry Abdul Kadir akan meneruskan pemerintahannya, tidak layak untuk kita sebut pentadbiran kerana mentadbir dan memerintah adalah dua perkataan yang jauh berbeza maknanya.

Suara rakyat telah diketepikan dengan cara terhormat. Perlembagaan, undang-undang dan badan kehakiman yang sepatutnya punya darjat "immune" yang tinggi telah dieksploitasi oleh si bijak pandai lagi licik mempergunakan ruang vakuum yang ada bagi memenuhi segala tuntutan dan kehendak sesetengah pihak.

Media hari ini menyebut, Dato' Ibrahim Ali, membidas PR dengan menuduh kita sebagai hipokrit dalam perjuangan, Dr Zambry Abdul Kadir pula mendakwa rakyat telah jemu dengan sikap pembangkang yang sentiasa ingin mencetuskan huru hara di negeri itu, Mufti Perak Datuk Sri Harussani Zakaria pun turut mencelah dengan mengatakan "kalau menang belah dia tak apa, tapi bila kalah, nak bangkang pula". Ini adalah antara suara pemimpin terdesak yang cuba meraih kepercayaan rakyat, namun hakikat sebenarnya merekalah pembunuh amalan demokrasi di tanahair Malaysia. Mungkin tidak salah kalau kita golongkan mereka sebagai golongan RUWAIBIDHAH seperti yang disebut oleh Rasulullah saw.

Kita sentiasa menghormati keputusan mahkamah, tetapi penghakiman sepatutnya dijalankan secara telus bukan dengan adanya tangan-tangan ghaib yang bertindak sebagai 'puppeteers' seperti yang berlaku sekarang ini. Kita yakin PR akan sahut cabaran Datuk Sri Mohamed Nazeri Aziz untuk membawa kes ini ke Mahkamah Persekutuan.

Entah kenapa Barisan Nasional sangat takut untuk menyerahkan kuasa pilihan ke tangan rakyat Perak. Namun dari analisa politik yang kita lakukan jelas menunjukkan kegerunan mereka setelah tewas teruk di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Walaupun mereka sering berhujjah dengan mengatakan keputusan PRK sedikitpun tidak akan mengubah landskap politik hari ini yang memihak kepada mereka, namun sedar atau tidak, rakyat marhaen keseluruhannya sedang mengkritik dalam diam dan mempersoal kredibiliti mereka sebagai parti yang memerintah...

Hari ini dua PRK sedang menunggu, Penanti dan Manik Urai. Di Manik Urai, Barisan Nasional sangat mengharapkan kemenangan kerusi ini, yang mereka dakwa, bukan lubuk PAS kerana mereka pernah memenanginya sebelum ini, kita menghormati harapan mereka.... Ya lah, sekurang-kurangnya harapan itu boleh menjadi satu mimpi, sebagai penghalau badi awan hitam yang sedang menyelubungi salah satu parti komponennya.

Apapun yang berlaku, jangan lupa bahawa ini adalah susunan dari Allah subhana wataala. Yang baik itu adalah dari-Nya, keputusan itu walaupun pahit untuk kita telan, namun ada hikmat di sebaliknya yang tidak kita nampak ketika ini... dan janganlah kita menyangka bahawa kemenangan di dunia itu adalah kebenaran kerana sudah menjadi sunnatulLah, baik yang menang atau kalah setiap satunya adalah ujian.. Kemenangan hakiki itu milik Allah. Semoga kita menjadi ummat yang sentiasa berbaik sangka dengan Allah swt dan meneruskan perjuangan demi mencapai cita-cita Daulah Islamiyah.. Takbir!!!!

SEKITAR LAWATAN YB ADUN KE TAWAU

Baru-baru ini YB ADUN Kelaboran bersama Ahli Lembaga PASTI Pusat beserta MGP termasuklah 350 orang ahli rombongan telah berkampung di Tawau dalam sesi lawatan mereka ke Sabah. Berikut adalah gambar-gambar sekitar lawatan beliau ke sana:

Berehat setelah letih menyelusuri pantai, bersama YB Dato' Mahfudz Omar dan Ustaz Abu Bakar Chik


Bersama seorang sahabat di tepi pantai di Tawau


Ketam di pasar Tawau sangat segar dan bersaiz besar


Ikan buntal juga boleh menjadi hidangan yang enak jika pandai menyiangnya. Seekor ikan buntal besar berharga RM5.00 seekor.


Di Jeti Pulau Sipadan


Menyusur pantai Sipadan, antara tempat tercantik di dunia dan kawasan yang dilindungi. Terdapat banyak spesis penyu di sini..


Antara pendengar yang hadir ketika ceramah di Jalan Kohara, Tawau

MUSLIMAT DUN MENYANTUNI MEREKA YANG MEMERLUKAN

Lawatan AJK Muslimat DUN ke rumah salah seorang ahli baru PAS di Kg Air Dingin. Yang tua dihormati, yang muda disayangi..


Bertemu mata dengan Cikgu Sarbanun yang baru dipotong kaki kerana ketumbuhan. Walaupun kehilangan sebelah kaki beliau masih mampu tersenyum, katanya badan ini pinjaman Allah, Dia tarik semula, kita kena redha.


Bermesra bersama semua pelawat yang turut hadir.....


Bersama kak Ani. AJK Muslimat DUN turut melawat ke rumah keluarga arwah Ustaz Wan Jamil di Pasir Pekan yang baru 2bln 20 hari meninggalkan kita. Keluarga beliau kini kehilangan seorang lagi ahli iaitu kak Dah, adik kepada Ustaz Wan Jamil pada malam jumaat baru-baru ini. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya akibat kanser. Semoga roh mereka ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatehah...

Wednesday, May 20, 2009

MANA MUNGKIN KITA LUPAI PALESTINE?


Jangan dilupa Palestine. Mereka itu saudara kita. Sejarah mengajar kita menjadi lebih dewasa. Sudah sepatutnya kita yang punya kesedaran menyeru sahabat di luar sana yang masih belum punya kesedaran berbuat sesuatu tentang kekejaman dan ketidakadilan ini.

Cukupkah sekadar kita mengucapkan "Kasihannya... anak-anak kecil itu dibunuh..." "Kasihannya.. kakinya putus..." atau "Kasihannya... pemuda-pemuda itu telah syahid..." tanpa berbuat sesuatu untuk membantu mengubah nasib mereka?

Kalaulah kita punya kekuatan ekonomi, salurkanlah bantuan melalui badan-badan NGO yang sudah 'establish' seperti Yayasan Amal Malaysia cawangan Kelantan atau melalui Sekretariat Misi Cakna Palestine di bawah kelolaan kerajaan negeri Kelantan. Ada banyak projek yang perlu dibangunkan di negara mangsa Israel itu. Dari segi bantuan prasarana, teknologi, perumahan, pendidikan, perubatan dan sebagainya amatlah dhaif. Hamas diserang dari setiap sudut dan kita masih leka, mungkin kerana negara yang diserang itu bukan Malaysia. Semoga tiap ringgit dan sen yang kita laburkan itu menjadi laba di dunia yang satu lagi...

Kalaulah kita punya kekuatan untuk bangun di malam hari, itu lebih baik lagi... Mereka amat memerlukan doa yang tidak putus dari kita semua. Persaudaraan kita walaupun berlainan kulit, bangsa dan bahasa adalah berdasarkan aqidah. Persaudaraan aqidahlah yang mengikat kita menjadi satu yang menjadikan perbezaan kulit, bangsa dan bahasa tidak relevan walau di mahkamah mana sekalipun di dunia ini. Bantuan kerohanian ini sangat penting agar mereka sabar dan kuat, teguh pendirian walau apa yang berlaku. Ingatlah bantuan Allah itu sangat dekat... Itulah janji-Nya.

Kita tidak diuji sedahsyat itu kerana Allah tahu kita tidak mampu menangani ujian hebat ini. Syurga Allah tidak mungkin ditawar dengan harga yang murah. Ayuh sahabat, jangan kita menjadi ummat yang lupa.... Ayuh.. kita bantu Palestine...!




Posted by Picasa

Tuesday, May 19, 2009

ADUN KELABORAN BERSAMA RAKYAT

Hadiahkan al-Fatehah kepada allahyarham Pak Mat yang meninggal dunia sehari selepas lawatan ini dibuat...


Lawatan ke Kampung Kelong


Baru menjalani pembedahan. Biarlah gambar ini bercerita


Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul


Menjejak kemesraan rakyat

Thursday, May 7, 2009

PERAK OHH PERAK....!


Sidang Dun Perak yang penuh kontroversi sedang berlangsung.
Malah detik ini bagaikan tidak tertahan lagi mahu disaksikan pemerhati politik dan seluruh rakyat.
Keabsahan kerajaan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat bakal teruji dalam sidang yang dikendalikan Speaker S.Sivakumar.
Setakat ini suasana di Ipoh terutamanya jalan menuju ke perkarangan bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Dun Perak dikawal rapi hingga tiada siapa yang boleh melintas masuk.
Semuanya angkara surat arahan polis yang melarang sesiapapun berada di dalam lingkungan 500 meter radius.Lebih mendukacitakan, beberapa masjid di Ipoh terutamanya di Manjoi diarahkan dikunci sejak malam tadi.
Ini termasuk Masjid Negeri yang biasanya dibuka untuk musafir singgah sebentar menunaikan solat ataupun berehat.
Sementara dalam perkembangan menjelang sidang Dun, Sivakumar memaklumkan menurut senarai jemputan yang dikemukan kepadanya, hanya 207 orang dibenarkan mengikuti sidang hari pertama yang bermula esok.
Bercakap dalam sidang media di pejabatnya di Ipoh semalam, beliau mempersoalkan 30 tetamu tambahan yang tiba-tiba dibenarkan hadir sebagai "tetamu menteri besar Perak" Datuk Zambry Abd Kadir dan "tetamu khas".
Tambahnya, beliau sendiri tidak mengetahui siapa tetamu yang dimaksudkan itu walaupun sudah meminta keizinan Setiausaha Kerajaan Perak, Dato' Dr Abdul Rahman Hashim melihat senarai itu.
Bagaimanapun, tambahnya, beliau dimaklumkan pula bahawa senarai tambahan itu "telah dibatalkan".
Mengulas mengenai usul yang bakal dibentangkan, Sivakumar berkata, dua usul dikemukakan iaitu melucutkan jawatannya sebagai Speaker dan melantik speaker baru.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, usul itu "bukan agenda yang ditentukannya".
Beliau juga berkata, terdapat tiga usul baru dikemukakan, iaitu menukar anggota jawatankuasa kira-kira, jawatankuasa perintah tetap dan jawatankuasa hak dan kebebasan Dun.(hrkh)

Setakat berita ini di'posting', Speaker DUN sedang menghambat keluar MB, 6 Exco dan 3 ADUN Bebas.... Manakala pihak polis pula sudah menahan sebelas orang di luar bangunan SUK Perak...

Tuesday, May 5, 2009

TAHUKAH ANDA FAKTA INI?


Prinsip Pentadbiran Kerajaan Negeri Di bawah
Tuan Guru Nik Abdul Aziz


UBUDIAH:


Berkait rapat dengan soal Iman (Aqidah) - merujuk kedudukan manusia sebagai hamba Allah s.w.t yang diciptakan semata-mata untuk beribadat kepada-Nya.


MAS'ULIAH:

Berkait dengan soal Amal (Syariat) - pertanggungjawaban (akauntabiliti) kepada sifat kerja seseorang yang dikaitkan dengan kedudukan Allah s.w.t sebagai Pemberi tanggungjawab.


ITQAN:

Berkait dengan soal Soleh (Akhlaq) - merujuk kepada kualiti kerja iaitu ketekunan, komitmen dan kesungguhan serta fokus dalam menjalankan tugasan.

Sunday, May 3, 2009

KETAQWAAN ITU MILIK ULAMA'?

Media massa beberapa hari ini begitu berminat meng'isu'kan hasil blog saudara Nik Abduh, dan kita yakin ia bukanlah tidak disengajakan malah ia disengajakan kerana ia berkesinambungan dengan tarikh Mu'tamar yang semakin menghampiri. Jika sebelum ini nama-nama pimpinan PAS jarang-jarang berada di muka depan media arus perdana, kita lihat beberapa hari lepas penuh dengan nama mereka. Dalam negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen seperti Malaysia, semua orang punya hak untuk memberi pendapat... Hmmmm.... satu perubahan yang baik atau adakah itu satu perangkap media yang laparkan berita sensasi parti lantas diambil peluang oleh puak-puak yang memang laparkan publisiti?

Penulis mengirakan saf pimpinan PAS sudah cukup matang untuk menilai sepak terajang politik manusia. Media hanyalah wadah, manusia yang mewarnakan wadah ini hijau, biru atau kelabu. Mengekalkan barisan kepimpinan Ulama adalah satu perkara yang wajar dipertahankan tetapi janganlah lupa sehingga ada yang menyebut bahawa 'KETAQWAAN ITU MILIK ULAMA'... Ini adalah satu konsep yang salah. Jika ketaqwaan itu milik ulama', mengapa Pak Khatib di atas mimbar melaungkan Ittaqullah... Ittaqullah... setiap hari Jumaat... untuk siapakan seruan itu? Untuk ulama' sahaja? Kalau begitu ulama' sahajalah yang perlu hadir ketika khutbah Jumaat, orang biasa tidak wajib hadir..

Mari kita lihat perkataan ulama' itu sendiri, yang berdasarkan perkataan a'liim. Tidak ada kamus yang menterjemahkan perkataan a'liim atau ulama' yang membawa maksud secara khusus agamawan, adakah golongan professional tidak layak untuk digelar a'liim? Bagi pendapat penulis, mereka layak kerana a'liim ini memberi makna orang yang mengetahui, dalam bidang pengkhususannya, tidak semestinya bidang agama... Apakah bidang ekonomi, perakaunan, kedoktoran, perniagaan dan lain-lain itu bukan juzuk dari ilmu Allah? Adakah hanya bidang Tauhid, usul Fiqh, tafseer, hadith, Nahu, sorof dan seumpamanya sahaja yang menjadi ilmu Allah? Ahhaa... betapa singkatnya penterjemahan kita kalau itulah pentafsiran yang kita lakukan.

Islam itu lengkap bukan hanya sebagai agama anutan tetapi 'way of life' a.k.a cara hidup... Jika disebut cara hidup maksudnya segala langkah, perbuatan, perjalanan kehidupan dan perjuangan mestilah selari dengan Islam. Biarlah digelar belajar agama sekadar 'mi celup' tetapi natijahnya dapat mengenyangkan rakyat jelata yang kelaparan daripada menjadi 'anak butir' yang menimbulkan polemik ketika hari pemilihan semakin mendekati....

Terkadang, dalam kita memperjuangkan apa yang kita imani ini kita terlupa untuk kembali kepada rujukan kita, al-Qur'an dan Sunnah. Lihat kembali Sirah Rasulullah s.a.w dan para Sahabiah r.a... Siapakah 'figure'-'figure' ini? Rasulullah s.a.w sebagai pemimpin, faqih, pejuang, semua elemen keilmuan ada padanya. Saidina Abu Bakr, seorang pedagang yang kaya raya juga menjadi pemimpin Islam, Saidina Omar sebagai ketua perang juga menjadi pemimpin Islam.. Lihat pula zaman tabiin, Imam Abu Hanifah, seorang pedagang yang berjaya dan pada masa yang sama menjadi Imam untuk dirujuk ilmunya. Bukankah satu kelebihan jika kita punya pimpinan tertinggi dari kalangan profesionalis yang abid dan bertakwa?

Penulis berpendapat, saf kepimpinan wajib bersatu dan bersepakat dalam hal ini agar kepimpinan Ulama' dapat diperjelas, tidak digugat dan tergugat. Manakala bagi yang baru berjinak-jinak dengan dunia media, jangan cepat melatah atau teruja bila usulnya menjadi tajuk utama, jangan mempolemikkan kelompangan yang wujud tetapi bantulah saf kepimpinan yang ada, isu kontroversi boleh ditimbulkan oleh sesiapa sahaja dan seterusnya disambal belacankan oleh media lantas kebanyakannya akan terperangkap.

Satu peringatan, bukan semua pimpinan qasyaf dan setaraf ilmunya dengan Tuan Presiden atau Mursyidul Am... Bukankah keimanan itu tidak boleh diwarisi...? Jadi janganlah menghukum jika itu hanyalah pendapat peribadi kerana tanpa kita sedari implikasinya boleh menjadi penyumbang kepada perpecahan parti. Kita Punya Dewan Ulama', Dewan Harian, dan lain-lain Dewan yang menjadi medan permuafakatan.. Gunakanlah ia. Rasulullah tidak mengajar pengikutnya untuk bertemu Hindun dan kuncu-kuncunya bagi menyebarkan berita, malah digunakan rumah al-Arqam untuk menyampaikan risalah... Dalam menyusuri kematangan kita berpolitik, sedarilah bahawa perjalanan dalam perjuangan kita masih jauh lagi, bukan hanya untuk tahun pemilihan ini.. Jadi beringatlah..