Thursday, April 30, 2009

HENTI GUNA BLOG PERLEKEH PEMIMPIN LAIN - DEWAN ULAMAK PAS

KOTA BHARU, 30 April - Selepas beberapa hari media harian yang dekat dengan UMNO menggamatkan isu dicetuskan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz, hari ini Dewan Ulamak PAS Pusat tampil meminta dihentikan polemik tersebut.

Ketuanya, Dato' Mohamed Daud berkata, amat tidak wajar sekali sekiranya laman blog digunakan untuk kebaikan parti menjadi medan mendedahkan keburukan orang lain.
"Perbuatan itu jelas merugikan parti sendiri. Kami berharap semua pihak menghentikan pelbagai spekulasi serta andaian peribadi berhubung kerajaan perpaduan dalam blog masing-masing.
"Anggota parti juga diingatkan tidak menyerang atau cuba menonjolkan orang tertentu yang diminatinya kerana ia akan mewujudkan kesan yang negatif," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.


Baru-baru ini Nik Abduh yang juga anak kepada Mursyidul Am PAS menulis dalam blognya menghentam pembantu bapanya berkaitan isu kerajaan perpaduan yang pernah dicadangkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Ekoran itu media berjaya mencipta fenomena baru bagi memburukkan PAS menjelang muktamar tahunan yang akan diadakan Jun depan di Shah Alam.
Mohamed yang lebih dikenali sebagai Ustaz Mat Iraqi berkata individu tidak boleh mengeluarkan kenyataan secara terbuka berkenaan cadangan kerajaan perpaduan memandangkan ia telah disepakati akan diputuskan pada muktamar nanti.
Menurutnya sebelum ini mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat, Majlis Syura Ulamak, Jawatankuasa PAS Pusat telah membuat ketetapan isu kerajaan perpaduan akan diputuskan dalam muktamar Jun ini.
"Maka orang perseorangan tidak boleh membuat sebarang kenyataan terbuka mengenai perkara itu kerana ia akan menggelirukan orang ramai.
"Bukan itu sahaja ia juga akan memberikan ruang kepada pihak musuh untuk mempermainkan isu terbabit seperti yang berlaku sekarang," ujarnya.


Beliau turut mengingatkan anggota parti tidak mengunakan blog untuk mendedahkan perkara negatif mengenai orang lain kerana ia akan menguntungkan pihak musuh.
"Kita sebagai sebuah parti Islam dan tentunya perjuangan dan cara kita juga tidak sama dengan pihak lawan," ujarnya.
Ditanya mengenai ada kawasan yang mahu jawatan tertinggi parti dipertandingkan katanya, sewajarnya jawatan utama tidak dipertanding dan terus diterajui kepimpinan ulama.
Bagaimanapun beliau berpendapat bagi jawatan naib presiden dan anggota jawatankuasa perlu ada gandingan di antara profesional dan ulama.


Ditanya lanjut mengenai kerajaan perpaduan beliau berkata, Dewan Ulamak tiada masalah untuk menyokong cadangan itu sekiranya perundangan negara dan ekonomi berjalan mengikut lunas-lunas Islam.
"Namun persoalannya adakah pihak lain boleh menerima kerajaan perpaduan itu bergerak mengikut acuan Islam," katanya. - mj

1 comment:

Anonymous said...

saya setuju dengan artikel ini kerana ramai yang memberi pandangan dan pendapat tanpa memikirkan buruk baiknya dan kesannya untuk jangkamasa panjang dan kesannya jika disalahgunakan oleh pihak lain. Adakalanya istilah kebebasan bersuara tidak boleh diguna pakai sewenang2nya mengikut situasi tertentu. Sebarang pendapat patut dikemukakan mengikut saluran yang betul.