Thursday, April 30, 2009

HENTI GUNA BLOG PERLEKEH PEMIMPIN LAIN - DEWAN ULAMAK PAS

KOTA BHARU, 30 April - Selepas beberapa hari media harian yang dekat dengan UMNO menggamatkan isu dicetuskan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz, hari ini Dewan Ulamak PAS Pusat tampil meminta dihentikan polemik tersebut.

Ketuanya, Dato' Mohamed Daud berkata, amat tidak wajar sekali sekiranya laman blog digunakan untuk kebaikan parti menjadi medan mendedahkan keburukan orang lain.
"Perbuatan itu jelas merugikan parti sendiri. Kami berharap semua pihak menghentikan pelbagai spekulasi serta andaian peribadi berhubung kerajaan perpaduan dalam blog masing-masing.
"Anggota parti juga diingatkan tidak menyerang atau cuba menonjolkan orang tertentu yang diminatinya kerana ia akan mewujudkan kesan yang negatif," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.


Baru-baru ini Nik Abduh yang juga anak kepada Mursyidul Am PAS menulis dalam blognya menghentam pembantu bapanya berkaitan isu kerajaan perpaduan yang pernah dicadangkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Ekoran itu media berjaya mencipta fenomena baru bagi memburukkan PAS menjelang muktamar tahunan yang akan diadakan Jun depan di Shah Alam.
Mohamed yang lebih dikenali sebagai Ustaz Mat Iraqi berkata individu tidak boleh mengeluarkan kenyataan secara terbuka berkenaan cadangan kerajaan perpaduan memandangkan ia telah disepakati akan diputuskan pada muktamar nanti.
Menurutnya sebelum ini mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat, Majlis Syura Ulamak, Jawatankuasa PAS Pusat telah membuat ketetapan isu kerajaan perpaduan akan diputuskan dalam muktamar Jun ini.
"Maka orang perseorangan tidak boleh membuat sebarang kenyataan terbuka mengenai perkara itu kerana ia akan menggelirukan orang ramai.
"Bukan itu sahaja ia juga akan memberikan ruang kepada pihak musuh untuk mempermainkan isu terbabit seperti yang berlaku sekarang," ujarnya.


Beliau turut mengingatkan anggota parti tidak mengunakan blog untuk mendedahkan perkara negatif mengenai orang lain kerana ia akan menguntungkan pihak musuh.
"Kita sebagai sebuah parti Islam dan tentunya perjuangan dan cara kita juga tidak sama dengan pihak lawan," ujarnya.
Ditanya mengenai ada kawasan yang mahu jawatan tertinggi parti dipertandingkan katanya, sewajarnya jawatan utama tidak dipertanding dan terus diterajui kepimpinan ulama.
Bagaimanapun beliau berpendapat bagi jawatan naib presiden dan anggota jawatankuasa perlu ada gandingan di antara profesional dan ulama.


Ditanya lanjut mengenai kerajaan perpaduan beliau berkata, Dewan Ulamak tiada masalah untuk menyokong cadangan itu sekiranya perundangan negara dan ekonomi berjalan mengikut lunas-lunas Islam.
"Namun persoalannya adakah pihak lain boleh menerima kerajaan perpaduan itu bergerak mengikut acuan Islam," katanya. - mj

Monday, April 27, 2009

MELAWAT ANAK BUAH SAKIT

Dalam kesibukan tugas sehari-sehari, YB ADUN Kelaboran mewajibkan diri untuk turun melawat rakyat yang kurang bernasib baik di bawah seliaan beliau.


Antara pesakit yang beliau lawati baru-baru ini termasuklah Encik Samsudin di Kampung Tanjung Kuala yang mengidap penyakit TB dan terpaksa mendapatkan rawatan setiap hari di hospital.


YB ADUN sewaktu melawat puan Ma Kelathom bt Harun yang terseliuh kepala lutut di Kampung Dalam Rhu manakala suami beliau Encik Sulaiman Dollah sedang beransur pulih dari kecederaan kaki akibat dilanggar oleh penunggang motorsikal.

Sunday, April 26, 2009

TAHNIAH DAN SELAMAT PULANG


Baru-baru ini beberapa orang AJK PPWK Kelaboran berangkat ke Lapangan Terbang Sultan Ismail bagi menyambut kepulangan dua orang pelatihnya, Cik Yasmin bt Hj Yahya dan Puan Zulaihal yang telah dihantar ke Bukit Tinggi untuk mendalami pengetahuan dalam ilmu sulaman di Pusat Latihan Hajjah Rosma.


Penghantaran kedua-dua pelajar yang telah terpilih bersama 6 orang pelatih PPWK dari kawasan-kawasan dalam negeri Kelantan telah dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Negeri Kelantan melalui Urusetia Pembangunan Wanita dan Kesihatan. Mereka selepas ini juga akan ditugaskan di (PUSKEL) Pusat Sulaman di Penambang, Kelantan.


Turut sama menyambut kepulangan mereka adalah ahli keluarga pelatih, petugas urusetia beserta Exco Pembangunan Wanita, YB Hajjah Wan Ubaidah Omar dan ADUN Tanjung Mas, YB Rohani Ibrahim.

Wednesday, April 22, 2009

SUMBANGAN BANTUAN IKS


Satu majlis ringkas telah diadakan baru-baru ini bertempat di Pejabat DUN Kelaboran bagi menyerahkan mesin untuk penerima projek Industri Kecil dan Sederhana yang telah disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan kepada pemohon-pemohon yang layak.

Dalam ucapannya ADUN Kelaboran mengharapkan agar sumbangan ini dapat digunakan dengan sebaiknya dalam meningkatkan lagi taraf kehidupan penerima bantuan tersebut. Antara mesin yang disumbangkan termasuklah sebuah mesin tebu, sebuah mesin jahit dan mesin jahit tepi, peralatan welding dan oven kek over saiz.


Penerima mesin kek dan Oven, puan Rapiah Binti Husin bergambar kenangan bersama suami, dan ADUN Kelaboran

Encik Rosli Bin Zakaria, penerima bantuan mesin tebu yang diwakili oleh isteri beliau.


Encik Ahmad Adnan Bin Jusoh, penerima peralatan welding


Encik Mustapa @ Ibrahim Bin Hussin menerima mesin jahit daripada ADUN Kelaboran

Tuesday, April 21, 2009

AHLI BARU PAS


Bertempat di rumah saudara Wan Tarikh Wan Ismail di Kg Air Dingin, jam 9 malam yang dihadiri hampir 100 penduduk sekitar, satu majlis telah diadakan bagi meraikan pertambahan ahli keluarga baru PAS Cawangan Air Dingin. Majlis ini turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Tumpat, YB Dato' Kamarudin Jafar dan ADUN Kelaboran, YB Mohamad Zaki Hj Ibrahim.

Seramai 10 orang terdiri dari bekas PPM Air Dingin, saudara Wan Ismail Wan Mat, 65 beserta ahli keluarganya termasuklah isteri beliau Che' Yam Wan Sulong telah mengisi borang dan diserahkan kepada YB ADUN Kelaboran.

Dalam ucapannya Dato' Kamarudin Jafar menyifatkan perubahan ini adalah satu rahmat kerana rakyat sudah mula menyedari tentang perubahan angin politik tanahair. UMNO sudah tidak relevan sebagai parti yang memperjuangkan keadilan di pentas politik Malaysia.

YB ADUN Kelaboran turut mengalu-alukan perpindahan bekas PPM Air Dingin beserta keluarganya untuk menyertai PAS. Malah beliau menegaskan dengan perpindahan bekas PPM tersebut menjadikan UMNO cawangan Air Dingin hampir lumpuh.

Ketika dihubungi, saudara Wan Ismail Wan Mat yang juga merupakan bekas Timbalan Ketua UMNO cawangan Air Dingin menyatakan bahawa perpindahan ini adalah disebabkan beliau sudah terlalu lama duduk di dalam UMNO dan telah puas menyaksikan kepincangan-kepincangan yang berlaku dan tidak mampu lagi untuk terus berdiam diri.

Monday, April 13, 2009

PERUTUSAN KEMENANGAN

Belum terlewat rasanya untuk mengucapkan tahniah kepada semua petugas PRK Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai yang telah bersungguh-sungguh membantu jentera pilihanraya, ada yang bermastautin hampir sebulan di Bukit Gantang contohnya, ada yang demam, sehingga pulang ke negeri masing-masing pun tak kebah lagi. Kita menang 2 -1 dalam round kali ini. Lafazkanlah rasa syukur di atas kemenangan yang telah disusun oleh Allah Rabbu Jalil. Jangan ada rasa bangga walau sedikitpun kerana perasaan itu adalah dari Syaitan yang mahu kita lupa diri dan alpa tanggungjawab diri sebagai petugas-petugas-Nya.



Bagi petugas Kelaboran yang berpusat di Trong, di mana YB ADUN Kelaboran sendiri menjadi mas'ul bagi kawasan ini, kemenangan ini merupakan satu lagi siren laungan dari hati rakyat marhaen yang tidak berkehendakkan kepada UMNO. Kemenangan ini merupakan luahan rasa ketidakpuas hatian rakyat baik Melayu, Cina, India atau peribumi di atas kerja Dato' Sri Najib Tun Razak yang merampas kuasa secara haram kerajaan negeri Perak dan seolah-olah tidak menghormati pilihan rakyat Perak sendiri dalam Pilihanraya Umum pada tarikh keramat 08-03-08 yang lalu. Malah sewaktu mengulas kekalahan BN di Bukit Gantang, mereka menuding jari mendakwa rakyat Bukit Gantang tidak pandai memilih pemimpin...!



Mereka larang kita menyentuh isu Altantuyaa yang teraniaya dan Institusi Raja-raja Melayu, kita akur, namun sedarlah kita tidak pernah kekeringan isu.. Rampasan kuasa, pembolotan harta, kemiskinan, projek mee segera, perpecahan, pendidikan, PPSMI, ketidakadilan terhadap MB Hj Nizar, semua itu adalah isu rakyat Perak. Rakyat kian membuka mata, suara RTM1 dan saluran yang sewaktu dengannya tentu tidak selama-lamanya mampu mengekang suara rakyat. Kita amat berharap agar ramai lagi rakyat di luar sana agar memilih media alternatif. Carilah kebenaran... ketahuilah, Al-Haqqu min Rabbik... Kebenaran itu hanyalah dari Allah!!!

Salam kemenangan untuk semua!