Terbaca berita muka depan Sinar Harian semalam, 7 Oktober 2008 dengan tajuk ; Tender: Nik Aziz tiada hak tegur.."Nik Aziz tidak ada wibawa untuk menegur kerajaan BN dalam hal tender. Ini kerana kerajaan PAS Kelantan di bawah pimpinan beliau telah diketahui umum sebagai pengamal pemberian tender projek, tender balak, kontrak atau jawatan kepada anak beranak dan kroni politik." - Annuar Musa.
Annuar Musa cuba tunjuk hero dan berlakon seolah-olah dia bersih dari segala noda dan dosa terhadap rakyat negeri Kelantan khususnya semasa beliau bertakhta di Kementerian Pembangunan Luar Bandar suatu masa dulu. Kehilangan pitis PPRT semasa beliau menjadi Menteri yang jaga PPRT dulu dengan jumlah tidak kurang dari RM36 juta adalah antara manifestasi yang tidak melayakkan Tok War menegur Tok Guru Nik Aziz dalam bab pentadbiran negeri Kelantan. Berapa tahun Tok War pegang jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar dulu ? Pegang jawatan Menteri tak sampai 10 tahun, kecoh dihambat BPR sehingga kereta Tok War sendiri ditahan oleh BPR. Tok Guru Nik Aziz 18 tahun memegang jawatan Menteri Besar Kelantan, tak pernah dihambat BPR dan dapat kekalkan rekod tidak ada seorang pun Ahli Exco dan Wakil Rakyat PAS ditahan oleh BPR.
Saya terbaca rencana dalam Mingguan Malaysia pada 18 November 2001 dan Utusan Malaysia pada 13 November 2001. Diantara isi kandungan rencana tersebut adalah seperti berikut :-
(1) Kepentingan Peribadi " Dakwaan adanya kelulusan peruntukan Menteri Pembangunan Luar Bandar sebanyak RM50,000 untuk satu projek di atas tanah milik Dato' Abdullah Ahmad." (Mingguan Malaysia : 18 November 2001)
(2) Mengkhianati Peruntukan Golongan Miskin ,"Penubuhan Syarikat untuk menyedut keluar dana yang diperuntukan untuk golongan termiskin dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar." (Mingguan Malaysia : 18 November 2001)
(3) " Projek 'Putra Peringat' yang dibina di atas tanah milik pemimpin UMNO menggunakan peruntukan kerajaan." (Mingguan Malaysia ; 18 November 2001)
(4) Kegagalan Projek, "Penjualan projek 'telur emas' di Bukit Cina, Kok Lanas kepada sebuah syarikat dari Negeri Sembilan." (Utusan Malaysia : 13 November 2001)
(5) Skandal PPRT adalah contoh klasik kes harapkan pagar, pagar makan padi. (Utusan Malaysia : 13 November 2001)
Fakta-fakta tersebut diambil dari akhbar arus perdana Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia, bukannya dari akhbar Harakah. Saya mempunyai banyak lagi keratan akhbar seumpama itu dari akhbar yang lain mengenai Tok War sebagaimana yang pernah saya dedah dalam ucapan saya dalam Persidangan DUN Kelantan pada November 2006.
Apa pun, Annuar Musa yang cuba menjenguk muka di musim pemilihan UMNO ini sudah tentu tidak dapat bertahan lama. Akhbar Sinar Harian pada hari ini pula di muka hadapan melaporkan "500 bantahan UMNO Kelantan" ( semua mengenai perjalanan mesyuarat UMNO cawangan ). Dalam gambar muka hadapan akhbar tersebut juga terpampang sebahagian ahli UMNO dan Wanita Rantau Panjang berhimpun di hadapan Bangunan UMNO negeri bagi menyampaikan memorandum kepada pimpinan UMNO bagi membantah tindakan mesyuarat yang diadakan di peringkat bahagian tidak telus.
Semua suasana ini menggambarkan UMNO makin nazak dan menunggu masa sahaja untuk di talqinkan dari pesada politik tanahair. Cukuplah dengan pelbagai kezaliman dan penganiayaan dibuat oleh Kerajaan BN kepada rakyat negara ini dengan pelbagai akta dan dasar yang menyusahkan semua lapisan masyarakat. Rakyat amat mengharapkan akan berlaku perubahan kepada kerajaan yang ada di peringkat pusat dengan kerajaan yang baru yang bernama 'Pakatan Rakyat' . InsyaAllah Taala....
1 comment:
Kenapa kes yang ditujukan kepada Annuar hanyalah tahun 2001? Asal sebut Tok War saje, keluar isu PPRT.
Dah takde kes lain ke?
Orang nak cakap pasal kes skrg. Bukan yang dulu.
Adakah politicians semua macam ini? saling tuding menuding. Why not prove accusations wrong? Hanya dengan menuding jari kepada pesalah yang lain does not make you right and noble.
You are just two of the same.
Post a Comment