Monday, September 22, 2008

MAHASISWA vs AUKU


Dr YH Yusuff di dalam Mingguan Wasilah (79) baru-baru ini menulis: "..Pendidikan PEMIKIRAN POLITIK di universiti mestilah dibuka secara FORMAL atau INFORMAL. Jika kita sayang warga IPT agar tidak menjadi dayus dan berfikiran kehambaan, wajar kita wajibkan mereka walau apa aliran pengajianpun untuk mengambil satu atau beberapa jam kredit mata pelajaran SAINS POLITIK, seperti mana kita wajibkan subjek tamadun Islam..." Amat menarik sekali pandangan beliau, namun sedar atau tidak keinginan ideal itu hanya boleh direalisasikan seandainya mendapat restu Kementerian Pengajian Tinggi. Sesuatu yang tidak mungkin berlaku memandangkan natijah yang kerajaan akan terima bakal memakan diri. Jika portal pendidikan politik dibuka, mahasiswa-mahasiswa ini bakal lahir dengan jiwa kefasihan politik yang mantap dan mungkin menyaingi mahasiswa Indonesia dan Thailand yang mampu merobohkan kerajaan mereka yang korup.

Universiti adalah satu dunia pra-kehidupan sebenar. Gaya hidup, corak pergaulan, pemikiran kritis, halatuju perjuangan, pandangan politik, terbentuk dan diasah umumnya ketika kita di alam kampus. AUKU yang digubal pada 1971, bertujuan mengekang kebangkitan mahasiswa yang menyedari kerajaan yang diketuai Allahyarham Tun Hussein Onn ketika itu menzalimi keadilan sejagat, namun tidak berhasil. Hanya di zaman Tun Dr Mahadhir bersama 'think tank'nya yang dapat membuat kekangan kemas dengan meminda seksyen 15(1) dan (2) yang melarang pelajar dan pertubuhan pelajar menjadi ahli kepada mana-mana parti politik atau kesatuan sekerja... Hasil tekanan yang berterusan inilah, mahasiswa menjadi takut, terancam, kusam dan seterusnya putus angin.


Namun begitu, dengan perubahan landskap politik di tanah air ketika ini, seksyen 15 (1) (c) AUKU juga turut diubah.. katanya, membenarkan pelajar menyertai persatuan di luar.. (p/s ..yang diluluskan oleh Menteri sahaja)., tidak termasuk parti politik..! Hakikatnya mereka masih menggunakan sifir yang sama '2 x 5 x 2'. Di hujungnya masih ada tali yang mengikat. Tiada kebebasan dan tiada keadilan. Hasilnya, Mahasiswa kekal dengan pemikiran jumud dan mulut yang terjahit, menjadi 'spoon feed theorist' dan takutkan cabaran (walaupun tidak semua). Sikap Mahasiswa yang begini, dikecam hebat oleh kerajaan sendiri tetapi mereka seolah lupa bahawa kerajaan yang sama jugalah yang mencipta 'mega-incubator' sebegitu bagi melahirkan generasi lesu ini.


YB Muhammad Hussain, MP Pasir Putih dalam satu temuramah ada menyebut bahawa... "Mahasiswa hari ini seperti budak sekolah, pemikiran mereka terbatas dan kebanyakannya didedahkan secara melampau kepada budaya hiburan, bersantai dan gaya hidup moden yang tidak serius" Jika generasi inilah yang kita harap dapat diserahkan tampuk pemerintahan negara satu masa nanti, tidak hancurkan Malaysia?

Jelas, ramai di kalangan pemimpin UMNO BN adalah bekas pimpinan kampus yang sempat merasai cengkaman AUKU, dan mungkin kini selesa dengan AUKU kerana ia memenuhi agenda peribadi mereka. Namun ingat, tidak semua pemimpin UMNO bersetuju. Contohnya dalam satu forum di UIA baru-baru ini, Dato' Saifudin Abdullah (UMNO) bersetuju dengan YB Salahudin Ayub dan saudara Yusmadi Yusof (PKR) yang menyelar seksyen 15 AUKU kerana mencengkam kebebasan Mahasiswa bersuara. Bagi saya, tidak salah untuk mengakui kelemahan. Itu baru diakui pemimpin sebenar!

Jadi, perubahan apa yang kita tuntut dari Mahasiswa? Rata-rata MPP universiti tempatan akan dibubar pada bulah 10 ini. Pilihanraya Kampus akan cepat menyusul selepasnya. Pro-Aspirasi yang bakal ditukar nama kepada Revo-M tentulah sudah mendapat mandat dari parti pemerintah, termasuklah budaya politik wang yang desas-desusnya kedengaran, kian menular dalam pimpinan Mahasiwa. Namun iklim politik mutaakhir yang bertukar arah kompas baru-baru ini sedikit sebanyak memberi kesan. Warga pelajar kian sedar, mencari gagasan yang sempurna adalah satu kewajipan.

Hassan al-Banna, 60 tahun lalu dalam mandatnya kepada Mahasiswa Mesir ada mengatakan "Si pejuang bagi sesuatu gagasan yang diperjuangkan, perlu ada 4 ciri utama: Pertama, Keimanan kepada apa yang diperjuangkan, Kedua, Keikhlasan dalam mempertaruhkan ideanya, Ketiga, Usaha dan Pengorbanan yang berterusan dan Keempat, Api keazaman yang tidak terpadam. Sebagai pemimpin, 4 ciri ini perlulah ditanam dalam setiap individu dalam menuju hanya satu gagasan yang sempurna iaitu gagasan Islam" Tidak kira apa bangsamu, tidak kira apa warna kulitmu, tidak kira apa agamamu... jika perjuanganmu untuk kesaksamaan dan keadilan, ia adalah selangkah menuju cara hidup Islam.


AUKU memang wajib dipinda atau terus dimansuhkan. Inilah desakkan warga kampus yang punya kesedaran. Namun jika hanya segelintir kecil yang sedar, ia tidak akan memberi impak maksima. Oleh itu bangunlah Mahasiswa..Berfikirlah dengan pemikiran kritis, bersatulah, lihatlah kebobrokan politik pemerintahan hari ini yang kucar. Ambillah peluang ini untuk menyusun stratergi, memberi faham sahabat-sahabatmu. Yang jumud jangan terus jumud... Yang siir janganlah terus siir.... Berusrahlah, bertukar-tukar pandangan, bermuhasabah, tazkirah, adakanlah debat, kolokium, hidupkan sudut pidato, bermuzakarah, berforum, Mahasiswa perlu menongkah arus dan gunakan pentas yang ada..


Rebutlah peluang dengan perlonggaran dasar AUKU ini. Lakukanlah perubahan.. kerana di tangan-tangan kamulah nanti negara ini, bangsa ini, dan agama ini bakal diwariskan. Apakah kamu telah mempersiapkan diri memikul amanah dan tugasan ini? Atau apakah kamu sudi negara ini, ummah ini dan agama ini rosak seperti saudaramu yang berada di Pusat Serenti? Ingatlah dengan datangnya tanggungjawab dan adanya kepertanggungjawaban, yang mengiringnya adalah amanah yang bakal dipersoalkan oleh Tuhan... Dayung sudah di tangan, Di air, itu sampan, Tepuklah badan, tanyalah si Iman....! Takbiir...

4 comments:

Anonymous said...

bisa-bisa!

Anonymous said...

bisa-bisa! budak-budak U kena baca!

Mohd. Abd. Rashid Bin Yah al-Kubrawiy al-Husaini said...

Kelonggaran untuk berpersatuan hanyalah diberikan kepada pelajar lanjutan sahaja iaitu peringkat Master dan Ph.D sahaja. Pelajar peringkat ijaha pertama masih dikongkong dan tidak dibenarkan menyertai mana-mana persatuan.

Anonymous said...

Betul kata En Mohd Rashid bin Yah... Namun, undergad kena peka la ni.. Sebenarnya apa saja perubahan boleh di exploitkan, tinggal lagi creativity kena tinggi. Apa-apapun, kita kena tackle bebudak SPM, STPM yang nak masuk U, kita kena beri pendedahan dan asuh depa2 ni, baru jadi, kalau tak, depa akan hanyut. Rugi.